Nasi Dagang Kelantan Gulai Ayam
Assalammualaikum dan salam lebaran kepada semua pengunjung blog Masam Manis. Rasanya masih belum terlewat lagi untuk ita mengambil kesempatan menghulurkan salam kemaafan, maaf zahir dan batin... manalah tahu jika selama ita menerawang di alam maya ini ada antara tulisan ita yang menguris perasaan.. ada kata -kata yang membuatkan kalian terluka, ada gambar-gambar yang ita kongsikan yang tersentuh hati.. ialah kita pun bukalah sempurna.. ada salah silap yang kadang kala kita tak sedar. Di kesempatan ni dan di bulan yang mulia ini.. sudi-sudilah kiranya kita bermaaf-maafan... buangkan yang keruh dan ambillah yang jernih. Semoga ukhwah ini berpanjangan walaupun hanya di alam maya sahaja.
Bagaimana sabutan hari raya kalian semua. Pasti meriah bila di kelilingi kaum keluarga, ibu bapa, ipar duai , sanak saudara , sahabat handai dan juga jiran tetangga. Tapi pada pemerhatian ita rata-rata sambutan tahun ini di sambut cukup sederhana. Mungkin faktor ekonomi yang tidak mengizinkan.. dan ada juga yang masih bersedih atas kehilangan orang yang tersayang. Ita tumpang simpati.. semoga tabah dan sabar.. dan redokan pemergian mereka yang kita sayangi. Semoga rohnya tenang dan di tempatkan di kalangan hambanya yang solleh.
Ok! jangan sedih-sedih... ceria-ceriakan hidup anda.
Hari ini ita kongsikan resepi nasi dagang versi Kelantan. Kebetulan balik Kelantan hari tu suami belikan beras nasi dagang. Kalau suami yang beli pastilah dia teringin nak makan nasi dagang walaupun sebenarnya dok hari-hari berulang makan nasi dagang masa di Kota Bahru hari tu. Tak puas agaknya.. atau nak merasa air tangan dari isterinya sendiri..
Sebagaimana yang pernah ita terangkansebelum ini.. Nasi Dagang Kelantan dan Nasi dagang Terengganu ada banyak perbezaannya walaupun namanya sama nasi dagang tapi.. bezanya dari beras pilihan hinggalah cara menyediakannya memang banyak sangat berbezanya. Ita lebih suka nasi dagang Kelantan kerana cara penyediaannya lebih mudah dan ringkas dan yang paling ita suka adalah pilihan berasnya yang unik dan hanya ada jual di Kelantan sahaja.
Pilihan gulai pula ita pilih gulai ayam. Bagi mereka yang nak buat gulai ikan boleh rujuk resepi yang ita pernah kongsikan di SINI
Resepi yang ita kongsikan ini amat sesuai jika ada antara teman-teman ita di luar sana yang nak menjamu rakan-rakan atau saudara mara hujung minggu ni.... Mudah dan ringkas aje penyediaannya dan yang penting rasanya sedap sangat!
Walaupun cara penyediaannya nasi dagang Kelantan ni sebenarnya tak di tumis tau! tapi versi ita kali ini ita tumis dan ita masak ala-ala nasi lemak. Ini semuanya adalah atas permintaan suami tersayang. Jadi terpulanglah pada pilihan anda sama ada nak tumis atau tak nak.. ikut selera keluargalah ya.
NASI DAGANG KELANTAN
Resepi oleh : Kak Jie Jie
3 cawan beras nasi dagang Kelantan
~ beras di rendam selama 20 minit, kemudian cuci bersih. Toskan
3 ulas bawang merah ~ di hiris
2 ulas bawang putih ~ dihiris
1 inc halia ~ di hiris kasar
1 helai daun pandan ~ di simpul
1 sudu teh halba
3 cawan santan ~ dari 1 biji kelapa atau 1 kotak santan kara campur air jadikan 3 cawan.
1/2 sudu teh garam atau 1 sudu teh maggi cukup rasa.
Satukan semua bahan-bahan yang kita sediakan tadi. Masukkan ke dalam periuk nasi.
Kacau rata, kemudian tanak nasi seperti biasa hingga ia masak.
Bila dah masak, gemburkan nasi dengan chopstik dan tutup semula periuk dan biarkan ia masak dengan sempurna.
Seperti yang ita katakan tadi, ita tumis dulu tau bawang merah dan halia hingga layur. Kemudian baru masukkan halba dan tumis semula hingga harum. Halba tak boleh tumis awal nanti dia cepat hangus. Bila dah layur dan harum baru masukkan daun pandan, santan dan garam. Biar didih. Bila dah didih masukkan beras dan tanak nasi macam biasa hingga masak. Ita masak macam masak nasi lemak.
GULAI AYAM
1/2 ekor ayam di potong kecil
Ita gaulkan ayam dengan kunyit dan garam dan goreng dulu. Kalau tak nak goreng pun boleh.
Bahan Kisar
10 tangkai cili kering
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inc halia
1/2 inc kunyit hidup
1/2 inc lengkuas
1 batang serai ~ di titik
3 sudu besar rempah kari daging atau ayam
2 keping asam keping
1 cawan santan
4 batang cili hijau dan merah belah 2 ~ buang bijinya
2 biji tomato ~ belah 4
1 keping gula Melaka
garam secukup rasa
Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bahan kisar hingga harum
Masukkan serai dan rempah kari dan tumis lagi hingga garing
Tambahkan air dan biar kuah didih
Bila dah didih masukkan asam keping , ayam dan santan
Masak hingga ayam empuk
Perasakan dengan garam dan gula Melaka secukup rasa
Akhir sekali masukkan cili dan tomato
Bila kuah didih dah sedia untuk di hidangkan.
ACAR MENTAH
1 batang timun ~ di hiris nipis atau potong batang mancis ( buang biji tengahnya )
1/2 batang lobak merah ~ di potong halus ~ atau sagat halus
2 batang cili merah ~ buang biji dan hiris halus
6 batang cili padi ~ hiris halus-halus
2 labu bawang besar ~ di ghiris nipis
2 sudu besar gula
1 sudu teh garam
3 sudu besar cuka makan
Gula, garam dan cuka di satukan
Timun, lobak , cili meah , cili padi dan bawang di satukan dalam bekas
Tuangkan larutan cuka, gula dan garam dan gaul rata
Sedia di hidangkan
Nasi dagang gulai ayam ni ita makan bersama sambal daging yang di beli di Kota Bahru dan juga telur asin. Kalau tak suka telur asin boleh makan dengan telur rebus. Kalau mak mertua ita dia selalu sediakan sekali sambal tumis, tapi ita tak buat sambal.. ^_^ malas lah tuuu....
Komentar
Posting Komentar